Thursday 31 October 2013

Chaweng Road, Koh Samui

Terdapat banyak deretan kedai dan restoren di kiri dan kanan Jalan Chaweng. Kedai pakaian, restoren, kedai cenderahati, kedai barangan kulit, pusat spa dan lain-lain sama banyak. Jika penat melihat-lihat di kedai-kedai menjual pakaian dan cenderahati, boleh bersantai di restoren atau manjakan diri di pusat spa.

Waktu perniagaan untuk kedai-kedai pakaian, cenderahati dan pusat spa, dimulakan agak lewat dalam jam 10 - 11 pagi hingga jam 12 malam. Untuk restoren, ada yang di buka awal pagi dengan hidangan sarapan pagi dan ada juga di buka pada sebelah petang dan malam sahaja.


Harga pakaian dan cenderahati agak mahal di sini. Permulaan harga akan di letakkan lebih kurang tiga kali ganda. Tapi selepas di tawar, ianya tetap mahal jika di bandingkan dengan Malaysia. Bayangkan harga pelekat magnet sahaja dapat mencecah bersamaan RM5 sekeping. Mungkin di sini adalah tempat utama tumpuan pelancong yang sebabkan harga agak mahal.

Tapi harga untuk makanan laut adalah murah di sini. Seekor udang kara hanya berharga lebih kurang RM70. Banyak lagi makanan laut seperti ikan berbagai jenis, udang, ketam dan lain-lain di jual di restoren. Kebanyakkan ianya di "BBQ". Tapi untuk orang islam tidak di sarankan kerana jaring pemanggang digunakan juga untuk memanggang daging khinzir.



Tuesday 29 October 2013

Grandfather-Grandmother Rocks, Koh Samui

Pertama kali di beritahu yang kami akan melawat ke Grandfather & Grandmother Rocks, terfikir adakah ianya sebuah tempat jagaan orang-orang tua? Ternyata ianya jauh berbeza dari apa yang saya fikirkan. Ia adalah dua batu.

Terletak di Lamai View Point. Dari Pantai Chaweng, ia mengambil masa tidak sampai setengah jam dengan menaiki commuter (van versi Thailand). Dari tempat parkir untuk ke tempat "Rocks", kena melalui gerai-gerai yang menjual cenderahati, makanan ringan dan air. Di bandingkan dengan Malaysia, harga di sini sangat mahal. Contohnya harga satu paket dodol adalah bersamaan sepuluh ringgit.


Menurut penceritaan turun temurun, ada sepasang suami-isteri yang menaiki perahu dan perahu mereka di landa badai. Perahu mereka terbalik dan mereka lemas di lautan. Mayat mereka kemudian mendarat di pantai Lamai dan mereka menjadi seperti batu-batu tersebut. Di dalam bahasa Thai: Grandfather Rock dan Grandmother Rock di panggil Hin Ta dan Hin Yai.


Untuk melihat Grandfather Rock, tidak perlu bersusah payah kerana ia dapat di lihat dari kejauhan. Tapi untuk melihat Grandmother Rock, anda perlu sedikit keberanian untuk menurun batu yang agak curam dan melihat ke atas. Saya tidak ada keberanian untuk turun melihat kerana jika tidak berhati-hati, kebarangkalian jatuh bergolek ke dalam lautan adalah tinggi.

Di sini juga, mungkin kerana lautan dan batuan tinggi, angin bertiup agak kencang. Walau cuaca panas, ianya terasa nyaman dengan angin yang bertiup.  Topi yang di pakai harus di pegang kemas jika tidak mahu ia di terbangkan.

Monday 28 October 2013

Koh Angthong National Park, Koh Samui

Koh Angthong adalah salah satu pulau di "Marine Park". Ianya terletak di lautan antara tanah besar (Suratthani) dan Koh Samui. Pulau-pulau di perairan ini terdiri dari berbagai saiz. Untuk ke sini, banyak perkhidmatan bot-bot pelancong di sediakan. Kebanyakkan bot akan bertolak dari Jeti Koh Samui di waktu pagi.


Selalunya perjalanan untuk ke "Marine Park" hanya mengambil masa selama satu jam setengah untuk sampai ke salah satu pulau terbesar di situ, tapi oleh kerana ombak besar dan juga sedikit masalah pada engin bot yang tidak membolehkan ianya bergerak laju, masa perjalanan meningkat kepada tiga jam. Nasib baik saya tidak mabuk laut dan dapat menikmati sepenuhnya keindahan lautan, kami juga bernasib baik dapat melihat ikan lumba-lumba yang seolah-olah berlumba dengan bot.


Sampai di pulau terbesar di "Marine Park" kami di pindahkan menggunakan bot kecil yang hanya menggunakan satu engin sangkut. Bayang kan kami yang seramai 40 orang lebih dapat di angkut di dalam bot yg kecil tersebut. Terasa seperti pelarian yang mahi menyeludup masuk sesebuah negara.

Di pulau ini bangku-bangku, restoren, bilik air dan rumah rehat di sediakan untuk kemudahan pelancong. Di sini juga kita dapat membuat aktiviti seperti "hiking" memanjat bukit, snokling, mandi laut, berkayak atau hanya berehat di tepi pantai. Tapi snokling tidak lah sehebat mana di sebabkan kita hanya dapat lakukan nya dekat dengan pantai dan air juga tidak lah jernih mana.


Kemudian kami pergi ke sebuah lagi pulau. Di sini terdapat ramai pelancong yang melakukan aktiviti hiking, mungkin kerana platform memanjang telah di sediakan. Kami membuat keputusan untuk berkayak dari sini ke pulau yang berjiran dengan nya. Kami mengambil masa selama setengah jam dengan berkayak. Tapi kadang kala seram juga bila kayak menghampiri celah-celah batu. Hanya mampu berdoa moga kayak tidak terbalik.








Sunday 27 October 2013

Pantai Peranginan Chaweng, Koh Samui

Di dalam bahasa thai "koh" bermaksud pulau. Jadi Koh Samui adalah sebuah pulau yang terletak di Teluk Siam (Gulf of Thailand). Berhampiran Koh Samui terdapat pulau-pulau lain seperti Koh Tao, Koh Phangan dan Kepulauan Angthong.


Pantai Chaweng pula terletak di bahagian utara Koh Samui. Di sini lah hotel penginapan saya terletak. Hotel Chaba Cabana Beach Resort & Spa, hanya 200 meter dari pantai yang putih. Keluasan bilik hotel ini agak memuaskan dan terdapat banyak perhiasan dan pokok-pokok menghijau di sekeliling hotel. Terdapat sebuah kolam dewasa dan sebuah kolam kanak-kanak di sini. Harga bilik untuk satu malam agak mahal kerana lokasinya yang betul-betul di kawasan pelancongan utama.


Petang harinya di Pantai Chaweng, banyak aktiviti yang di jalankan di sini. Hotel-hotel sepanjang pantai menjalankan urutan di khemah-khemah terbuka mengadap laut yang biru. Pasti sangat menyenangkan. Harga untuk urutan tersebut juga berpatutan. Selain dari urutan, pelancong-pelancong warga barat sibuk berjemur, berparti, berenang, memandu jet ski dan juga bersantai sambil berjalan-jalan di persisir pantai. Di mana-mana, warga barat kelihatan lebih banyak dari warga tempatan.


Sebaliknya di bahagian sebelah daratan, di kiri kanan jalan, banyak kedai-kedai menjual pakaian, cenderamata, makanan dan lain-lain menjalankan perniagaan. Di sini kebanyakan penjaga kedai adalah warga Nepal or Bangladesh.Tidak dapat di pastikan samada kedai itu kepunyaan diaorang atau hanya makan gaji di situ.

Kebanyakan pekedai sangat suka warga Malaysia. Mungkin warga Malaysia kuat berbelanja dan tidak berkira. Tapi harga barang di sini terasa terlalu mahal, murah pula harga barang di Malaysia.

Pada malam hari, suasana malam di jalan di sini berubah wajah. Banyak "live band" di restoren-restoren terbuka dan untuk mereka yang mencari hiburan malam ada terdapat di sini.




Chukai - Kuantan - KL - Koh Samui Part 2

Tepat jam 1.35 petang, kapal terbang Fireflies meninggalkan Lapangan Terbang Subang menuju ke Koh Samui. Penerbangan mengambil masa selama dua setengah jam. Menaiki pesawat kecil begini sedikit kurang selesa dengan bunyi yang engin kedengaran dari dalam.


Masa selama dua setengah jam di guna sepenuh nya dengan membaca risalah-risalah keselamatan dan majalah di dalam pesawat. Sesekali mata di alihkan ke tingkap kecil sambil mengintai permandangan indah di ruang angkasa. Bila pesawat melintasi ruang angkasa Pulau Pinang, jelas kelihatan dua buah jambatan yang menghubungkan antara Pulau dengan Tanah Besar.

Semasa penerbangan, minuman dan makanan ringan di sediakan. Selain itu, jika masih terasa lapar, boleh juga makan "maggie in cup" berharga cuma RM3 dan di hidangkan bersama segelas minuman.


Lega rasanya dapat menjejakkan kaki ke daratan semula. Lapangan Terbang Samui berkonsep tropika terbuka tanpa penyaman udara dan di kelilingi oleh pokok-pokok menghijau. Beratapkan daun kelapa dengan di alas pelapik plastik, ianya cukup menarik dengan hanya kipas di gunakan untuk menyejukkan keadaan yang agak panas berbanding di Malaysia. 

Dari Lapangan Terbang Samui, kami menaiki kenderaan "commuter" iaitu sebuah van yang di ubah suai untuk ke hotel. Perjalanan hanya mengambil masa dalam 15 minit. Di sini pemandu-pemandu kenderaan agak tinggi tahap kesabarannya dan sikap tolak ansurnya.


Untuk empat hari dan tiga malam,kami menginap di Chaba Cabana Beach Resort & Spa. Ianya terletak di bahagian utara Pantai Peranginan Chaweng. Hanya perlu beberapa minit  berjalan kaki untuk ke tempat tumpunan ramai seperti kedai-kedai jualan, restoren-restoren, pusat Spa, bar & disko dan lain-lain.




Friday 25 October 2013

Chukai - Kuantan - KL - Koh Samui Part 1

Seawal jam 5 pagi telah bertolak dari Chukai untuk Lapangan Terbang Kuantan. Perjalanan pagi itu memakan masa selama satu jam dengan menaiki teksi. Perjalanan lancar dengan sesekali berselisih dengan kenderaan lain.

Sampai di Lapangan Terbang Kuantan, orang telah ramai dan hanya ada masa berbaki 20 minit untuk bersolat dan mendaftar masuk untuk menaiki pesawat ke Kuala Lumpur. Jam 6.45 pagi kapal terbang bertolak dari Kuantan yang mengambil masa selama 45 minit untuk ke Lapangan Terbang Kuala Lumpur.


Sungguh tenang berada di dalam penerbangan di awal pagi. Suasana di atas sangat mengasyikkan, langit kebiruan dengan matahari mahu menampakkan diri. Masing-masing melayan perasaan antara mengantuk dan sedar. Selain dari kumpulan kami untuk ke Koh Samui (semua berpakaian baju t-shirt merah), terdapat juga kumpulan jemaah haji untuk ke Mekah. Moga mereka selamat menunaikan ibadah nanti dan selamat pulang semula ke tanah air.

Sampai saja di Lapangan Terbang Kuala Lumpur, wakil dari syarikat pelancongan (Poto Travel) telah sedia menanti. Sedikit penerangan di berikan berkenan aturcara yang akan di jalankan di Koh Samui. Kami kemudiannya di bawa menaiki dua buah bas untuk ke Lapangan Terbang Subang. Di pertengahan jalan, berhenti seketika di Hentian & Rawat untuk bersarapan pagi.

Banyak waktu terluang di Lapangan Terbang Subang sebelum penerbangan seterusnya ke Koh Samui yang di jadualkan pada 1.35 petang. 








Nasi Lemak Greenwood

Sesampai saja di Tol Gombak pada jam 8.30 malam, perut terasa lapar. Tiba-tiba terlintas untuk makan di Greenwood. Sudah terlalu lama saya tidak ke sana. Hanya deretan kedai-kedai kecil yang terletak di persisir jalan utama tergambar di fikiran. Satu persoalan, apa yang ada di situ? Kali terakhir lama dulu, saya berhenti untuk makan makanan ala Thai.

Greenwood tidak banyak berubah dari dulu. Tetap sama, sibuk dengan kereta yang sedikit kelam kabut dan suasana juga sesuram dahulu. Selepas meletak kereta di jalan belakang, terus berjalan ke deretan kedai berhampiran jalan utama.


Dari kejauhan kelihatan orang berbaris panjang. Persoalan mula menerjah di fikiran, apa yang di jual di situ sampai oranh sanggup berbaris panjang. Rupanya mereka semua hendak menikmati nasi lemak. Saya pun turut bersama-sama berbaris. Tidak terlalu lama berbaris giliran saya telah tiba. 


Nasi lemak di sini istimewa, di alas daun pisang dan kita dapat memilih untuk menikmatinya dengan lauk-pauk seperti sambal sotong, daging rendang, daging gulai, ayam goreng, ayam gulai, paru goreng, telur goreng dan lain-lain. 

Bau wangi dari nasi di alas daun pisang betul-betul membuka selera. Sambal sotong juga tidak mengecewakan. Harga amat berpatutan dengan kuantiti lauk dan nasi yang banyak. Harga nasi lemak sambal sotong dan teh tarik hanya RM5.50. Nama kedai ini "Ujang Nasi Lemak Corner".







Monday 14 October 2013

Bukit Bendera, Pulau Pinang part 6


Di Pulau Pinang, tempat yang wajid di kunjungi adalah Bukit Bendera. Dari sini kita akan dapat melihat dengan jelas pemandangan di seluruh pulau. Dari kejauhan kita dapat melihat lautan yang terbentang luas dan juga kelihatan bangunan-bangunan. 


Di atas Bukit Bendera sendiri mempunyai bangunan seperti pejabat pos, cafe, rumah rehat, kuil, taman dan rumah-rumah atau banglo-banglo persendirian. Cuaca di atas Bukit Bendera tiada beza dengan cuaca di bawah bukit, mungkin di sebabkan ketinggian nya yang sederhana tinggi.


Jika penat berjalan kaki, terdapat juga tren kecil yang boleh disewa. Tren tersebut dapat memuatkan 6 orang dewasa. Ianya jimat untuk satu keluarga tapi jika berseorangan atau berdua, harga sewa akan tetap sama seperti menyewa sebuah tren. Anda akan di bawa melihat kehijauan Bukit Bendera dan juga rumah-rumah yang mempunyai seni Bina ala barat.