Friday 18 December 2015

Restoren Pallet Kuala Terengganu

Restoren pallet ini sudah lama beroperasi tapi tiada kesempatan untuk saya mengunjunginya hinggalah pada malam ini. Ia terletak berhampiran Kem Tentera Seberang Takir di persimpangan traffic light berdekatan Stesen minyak Shell.


Suasana restoren yang "cozy" dengan gitar-gitar, keyboard dan mural yang menarik. Kerusi, meja, sinki dan kaunter penyediaan makanan juga minuman di perbuat dari pallet recyle. Kelihatan agak unik dan mendamaikan dengan pencahayaan yang tidak keterlaluan.


Melihat dari menu, dapat di nyatakan yang restoren ini boleh di nobatkan di kalangan restoren-restoren di bawah harga patut. Bak kata orang; harga mampu makan bagi makanan barat.


Saya dan suami mencuba chicken chop, grilled lamb dan segelas besar air buah jambu. Makanan nya sedap dan begitu juga air buah. Harga chicken chop rm5.00, grilled lamb rm10.00 dan air buah gelas besar rm4.50. Sungguh berbaloi.





Friday 18 September 2015

Hari Peladang, Penternak & Nelayan Kuala Kemaman.

Hari ini pada 18hb Sept 2015, Hari Peladang, Penternak & Nelayan yang bertempat di Kuala Kemaman di adakan selama 3 hari. Ramai ibu bapa mengambil kesempatan membawa anak-anak ke sini.

Banyak gerai jualan dan pameran terdapat, yang menariknya pengunjung akan dapat info-info terkini berkenan tumbuhan dan haiwan ternakan dan juga berkaitan dengan industri Nelayan laut dalam.


Harga orkid agak berpatutan bagi saya, antara RM 10 - RM25 sepokok. Jika hendak berjimat, anak-anak orkid juga ada di jual. Saya berminat tapi niat di bantutkan dengan ketiadaan rumah orkid.


Untuk menaman sayuran di kawasan rumah yang sempit; "racking system" boleh di amalkan. Selain dari penggunaan tanah yang sedikit, ia juga bagus untuk sistem pengudaraan di kawasan rumah. 


Ini juga salah satu cara untuk ruang terhad. Walau tidak mengikut tradisi penanaman, pokok rock melon tersebut masih subur.


Ini adalah gambar batu-batu karang di laut, tidak percaya juga yang batu karang boleh di biakkan dengan teknologi terkini.


Besarnya baka lembu yang berasal dari Perancis. Ia sesuai di bela untuk mendapatkan dagingnya.


Untuk mereka yang tidak pernah melihat kerbau balau dari jarak dekat, boleh datang ke sini. 


Saturday 11 April 2015

Perjalanan ke Tanjung Balai, Indonesia part 3

Selepas mendaftar masuk ke hotel, kami berehat sekejap. Tepat jam 1 tenghari, kami memulakan langkah mencari kedai makan. Kami mencuba nasi padang, agak enak. Mungkin keasliannya terjaga. Cuma harga terasa sedikit mahal. Saya agak tertarik dengan susun atur lauk pauk yang di pamerkan. Unik dan jimat ruang.


Selesai menjamu kami berjalan sekitar pekan. Di sini banyak jalan sehala yang sempit. Kereta dan motorsikal di parkirkan di sisi bahu jalan. Di sebabkan kepadatan itu, khidmat penjaga parkir berbayar amat di perlukan. 


Di kiri dan kanan jalan, banyak kedai yang menjual batik, baju, telekung sembahyang dan macam-macam lagi. Harganya agak murah jika di bandingkan dengan barang yang sama di Malaysia. Saya agak rambang mata dan  banyak juga rupiah yang bertukar tangan.. 







Monday 30 March 2015

Perjalanan ke Tanjung Balai, Indonesia part 2

Menghampiri sejam berjalanan dengan feri, kelihatan Pulau Karimun, tempat letaknya Tanjung Balai. Alhamdulillah proses untuk masuk ke sini berjalan lancar.


Keluar sahaja kami ke anjung bersebelahan, suasana sibuk dan sesekali di kejutkan dengan jeritan penjual tiket feri untuk ke Singapura, Pulau Batam, Pulau Bintan, Dumai dan lain-lain. 


Dari sini kami di bawa ke hotel dengan menaiki Toyota Avanza. Perjalanan hanya mengambil masa selama 8 minit. Kebanyakan jalan di sini adalah jalan sehala dan agak sempit dengan kenderaan di parkir di kiri bahu jalan. 


Harga penginapan di hotel adalah murah. Rm60 semalam dengan sarapan pagi, agak berbaloi.




Perjalanan ke Tanjung Balai, Indonesia part 1

Cadangan rombongan pada 27 March 2015  ke Tanjung Balai Indonesia menaiki feri agak menarik perhatian. Saya dan suami sepakat untuk mencuba.

Memulakan perjalanan dengan menaiki bas dari Kuala Terengganu jam 10 malam. Perjalanan agak lancar dengan dua hentian untuk makan dan solat subuh. Kami sampai di Jeti Antarabangsa Kukup jam 8.30 pagi.


Harga tiket untuk perjalanan dua hala adalah Rm120 termasuk boading fees. Di sini tidak perlu risau kerana Tiketing Agent akan mengisi borang perjalanan anda, sungguh senang. 


Tepat jam 10 pagi kami menaiki feri. Dari perhatian saya, feri ini di jaga dengan baik dengan anak-anak kapal yang mesra. Tiada aktiviti semasa perjalanan selain dari tidur dan menonton video. Perjalanan ini akan mengambil masa selama satu jam. 


Friday 27 March 2015

Bersila di Kuala Terengganu

Jemputan untuk satu majlis "bersila" di Kuala Terengganu pada 3hb Januari 2015 mengundang persoalan. Kenapa ianya di namakan begitu dan apakah isi kandungan majlis tersebut. Walaupun tanpa keterangan lebih lanjut, kami menghadirkan diri.


Majlis ini di namakan bersempena dengan kedudukan para jemputan yang bersila di ruang tamu rumah. Cuma segelintir jemputan yang agak tua yang menggunakan kerusi di dalam majlis. Tujuan utama di adakan majlis ini untuk mengeratkan lagi hubungan di dalam sesebuah kampung.


Di mulai dengan ceramah agama yang menjurus pada perubahan atau dalam bahasa moden di sebut transformasi kehidupan dengan berpaksikan masjid dan surau sebagai tempat perpaduan.

Masyarakat di seru untuk sama-sama memuliakan masjid dan surau dengan mengunjungi rumah Allah tersebut setiap masa. Warga lelaki di galakkan solat berjemaah di rumah Allah terutamanya di waktu subuh. Kita juga di sarankan bersama-sama menjaga kebersihan rumah Allah tersebut.

Akhir majls di sudahi dengan selawat ke atas Nabi dan sedikit jamuan makan.


Friday 2 January 2015

Keadaan di Manik Urai part 3


Berjalan di atas jambatan yg menghubungkan Manik Urai Lama dan Manik Urai Baru pada 31hb December 2014 cukup menyedihkan. Di sepanjang jalan kelihatan banyak kereta dengan kesan di tenggelami air.


Tiba-tiba mata saya tertumpu pada sebatang kayu balak di atas jambatan, tidak dapat di bayangkan bagaimana dahsyatnya banjir di sini. Ia amat bertepatan dengan gelaran banjir di sini sebagai "anak tsunami".


Melangkah lebih jauh ke dalam kampung Manik Urai Lama semakin sebak terasa. Kelihatan kayu-kayu hanyut dan lumpur merata-rata. Bau tidak menyenangkan, mungkin ia berasal dari lumpur atau pun dari bangkai haiwan yang mati lemas.


Kelihatan penduduk di situ mencari sisa-sisa barang yang mungkin masih boleh di gunakan di bawah timbunan runtuhan rumah. Tetapi kelihatan seperti tiada yang berguna lagi, semua telah kembang dan tercemar dengan segala macam kuman.


Di dalam fikiran, saya bersetuju dengan titah Sultan Kelantan supaya kita kena redha dan imani bencana banjir yang menimpa ini. Jangan salahkan sesiapa di atas ujian Allah ini dan kita hendaklah bersahabat dengan alam sekitar.


Kami meninggalkan Manik Urai dengan rasa keinsafan. Moga kita sesama manusia dapat berbaik sesama kita dan ingatlah kadang bencana yang datang untuk kita sedar dan kembali kepada ajaran islam yang sebenar.

Thursday 1 January 2015

Keadaan di Manik Urai part 2

31hb December 2014; ada sebuah jambatan agak tinggi yang menghubungkan Manik Urai Lama dan Manik Urai Baru. Pada hari kejadian, air banjir adalah sangat tinggi melepasi ketinggian pagar konkrit jambatan.


Sebelum banjir menjadi besar, ada penduduk yang meletak kereta mereka di sepanjang jambatan. Apa bila banjir melanda dengan kekuatan yang luar biasa, banyak kereta yang teralih dari tempat asal yang di parkir.


Semua kereta tersebut bukan hanya di masuki air banjir berserta lumpur tetapi ada juga yang kerosakan pada badan dan cermin kereta.


Berdasarkan pada keadaan kereta-kereta yang jatuh ke bawah gaung, dapat di jangkakan bahawa arus air banjir adalah sangat kuat yang mampu mengalih apa saja yang berada di lalunya.




Kebanyakkan badan kereta rosak di tahap yang paling teruk.

Keadaan di Manik Urai part 1

31hb December 2014;  melalui cerita dari orang tempatan di Kuala Krai, kami bertolak ke Manik Urai untuk melihat sendiri kesan banjir besar di sini yang di sifatkan seperti "anak tsunami"


Terdahulu kami sampai di Manik Urai Baru,  keadaan agak sesak dengan banyak kenderaan bantuan yang tidak putus-putus tiba. Setengah orang tempatan sudah mula membersih rumah.


Semua rumah di sini di masuki air banjir yang di setengah tempat setinggi atap rumah. Banyak peralatan rumah yang rosak dan banyak kereta yang beralih dari tempat yang di parkir dan di masuki air.


Di bandingkan dengan keadaan di Tanah Merah, di sini lagi kritikal dan agak menyedihkan.