Showing posts with label food. Show all posts
Showing posts with label food. Show all posts

Friday, 18 December 2015

Restoren Pallet Kuala Terengganu

Restoren pallet ini sudah lama beroperasi tapi tiada kesempatan untuk saya mengunjunginya hinggalah pada malam ini. Ia terletak berhampiran Kem Tentera Seberang Takir di persimpangan traffic light berdekatan Stesen minyak Shell.


Suasana restoren yang "cozy" dengan gitar-gitar, keyboard dan mural yang menarik. Kerusi, meja, sinki dan kaunter penyediaan makanan juga minuman di perbuat dari pallet recyle. Kelihatan agak unik dan mendamaikan dengan pencahayaan yang tidak keterlaluan.


Melihat dari menu, dapat di nyatakan yang restoren ini boleh di nobatkan di kalangan restoren-restoren di bawah harga patut. Bak kata orang; harga mampu makan bagi makanan barat.


Saya dan suami mencuba chicken chop, grilled lamb dan segelas besar air buah jambu. Makanan nya sedap dan begitu juga air buah. Harga chicken chop rm5.00, grilled lamb rm10.00 dan air buah gelas besar rm4.50. Sungguh berbaloi.





Saturday, 11 April 2015

Perjalanan ke Tanjung Balai, Indonesia part 3

Selepas mendaftar masuk ke hotel, kami berehat sekejap. Tepat jam 1 tenghari, kami memulakan langkah mencari kedai makan. Kami mencuba nasi padang, agak enak. Mungkin keasliannya terjaga. Cuma harga terasa sedikit mahal. Saya agak tertarik dengan susun atur lauk pauk yang di pamerkan. Unik dan jimat ruang.


Selesai menjamu kami berjalan sekitar pekan. Di sini banyak jalan sehala yang sempit. Kereta dan motorsikal di parkirkan di sisi bahu jalan. Di sebabkan kepadatan itu, khidmat penjaga parkir berbayar amat di perlukan. 


Di kiri dan kanan jalan, banyak kedai yang menjual batik, baju, telekung sembahyang dan macam-macam lagi. Harganya agak murah jika di bandingkan dengan barang yang sama di Malaysia. Saya agak rambang mata dan  banyak juga rupiah yang bertukar tangan.. 







Thursday, 11 December 2014

Sup Ikan, Pasar Chabang Tiga

Suasana Pasar Chabang Tiga di waktu pagi tiada bezanya dengan pasar-pasar lain yang terdapat di Malaysia, penuh dengan orang untuk urusan jual beli. Kedatangan saya pagi itu hanya untuk bersarapan. Di dalam banyak kedai, saya tertarik dengan satu kedai yang ada menyediakan sup ikan di samping makanan lain seperti nasi lemak, nasi minyak dan lain-lain.


Sup ikan di waktu pagi adalah di luar kebiasaan. Walau pun begitu saya tetap mencuba. Rasanya agak menarik, pekat terasa rempah ratusnya dan isi ikan juga tidak begitu mengecewakan. Sup ikan ini bagus di makan bersama roti potong.

Saya lihat ramai juga orang memesan sup ikan ini. Ada yang makan di kedai dan ada pula yang membungkusnya untuk di bawa pulang pada keluarga. Saya tidak sempat bertanya dengan lebih lanjut perihal sup ikan ini. Walau bagimana pun ia dalah sesuatu yang baru untuk di nikmati.


Tuesday, 9 December 2014

Nasi Goreng Ikan, Kemasik

Nasi goreng ikan adalah salah satu makanan tradisional Terengganu. Tetapi ianya sangat sukar di perolehi pada zaman moden ini kerana kebanyakan kedai makan untuk sarapan pagi telah beralih kepada nasi lemak dan roti canai.


Kedai yang ada menjual nya terletak di Kemasik dengan nama "Hentian Mesra". Jika memandu ke Kerteh, ia terletak di sebelah kanan jalan besar berhadapan sekolah yang berhampiran Mesra Mall. Waktu beroperasi nya adalah di waktu pagi. 

Apa yang istimewanya nasi goreng ikan ini? Yang membezakan ia dengan nasi goreng biasa adalah salah satu rencahnya adalah isi ikan tongkol yang di goreng bersama-sama perencah yang lain. Lapisan ikan tongkol yang tidak terlalu hancur agak ketara dan rasanya sangat sedap. Tetapi ia tidak di galakkan untuk mereka yang ada alegik kepada ikan ini dan untuk meraka yang menjaga kesihatan kerana ia agak berminyak.



Friday, 3 October 2014

Masak lemak cili api, Setia Alam

Nama restoren ini adalah Restoren Masak Lemak Cili Api. Ia terletak di Setia Alam, Klang. Agak susah untuk mencari restoren ini bagi yang baru, jadi untuk memudahkan anda di saran mengunakan applikasi "waze".

Restoren ini menyajikan masakan Negeri Sembilan yang terkenal dengan masakan yang berorientasikan cili padi. Apa yang lebih unik, bahan utamanya iaitu daging, ayam kampung dan ikan keli akan melalui proses penyalai sebelum di masak bersama cili padi dan santan. Selain pada itu, masak lemak siput sedut juga terdapat di sini. Jarang berjumpa dengan masakan tersebut.



Masak lemak daging salai bersama sayur kacang panjang menjadi hidangan tenghari saya pada hari itu. Sedap dan enak. Tidak cukup sepinggan nasi tetapi bila di ingatkan kepada azam saya yang mahu menguruskan badan, hajat menambah nasi di batalkan.

Bagi mereka yang tidak tahan kepada kepedasan cili padi,  jangan risau kerana masakan berasaskan sup juga terdapat di sini.

Suasana tempat makan yang bersih dengan persekitaran yang aman membuatkan saya selesa berada di restoren tersebut. Harga juga agak berpatutan di sini. Saya dapat merasakan yang saya pastinya akan berkunjung lagi ke sini.

Friday, 19 September 2014

Popiah & Sup Kambing Setapak

Sejak daripada 12 tahun yang lepas saya suka datang makan di sebuah kedai di Setapak. Nama kedai adalah Restoren Sup  Zaiton Hussin. Lokasi kedai agak tersorok di belakang masjid jamek al ehsan di Jalan Setapak tetapi pengunjung setia tetap ada memenuhi terutama pada masa puncak di waktu tengahari dan lewat petang.


Bertepatan dengan nama tersebut, makanan yang enak di sini adalah sup kambing dan popiah basah. Tidak lupa juga teh tarik. Kelihatan agak janggal tiga kombinasi tersebut tapi yang pasti anda tidak akan kecewa dengan rasanya.


Sup kambingnya penuh perisa dan sedikit pedas. Dagingnya empuk dan tidak hamis. Ada yang mengatakan daging kambing tinggi kolestrol dan menaikkan darah pemakannya.  Tapi tiada kajian tepat yang dapat membuktikannya. Roti potong juga di sediakan untuk di nikmati bersama sup.


Popiah di sini adalah popiah basah. Sungguh enak sosnya dan tidak puas jika hanya makan satu. Selalunya saya akan membawa popiah pulang untuk di nikmati lagi sesampai di rumah nanti.


Wednesday, 17 September 2014

Nasi Dagang Kuala Terengganu

Sempena musim cuti sekolah ini, jika anda sekeluarga datang ke Kuala Terengganu, jangan lupa merasa makanan kebanggaan warga di sini iaitu nasi dagang. Di antara banyak tempat yang menjual nasi dagang, saya lebih tertarik dengan nasi dagang yang di jual di kedai makan Kak Pah di pantai perangian Batu Buruk Kuala Terengganu.


Kedai Kak Pah terletak di deratan kedai makan yang kelihatan berdekatan dengan traffic light di persimpangan rumah Menteri Besar. Tempat untuk parkir kereta hanya di hadapan deretan kedai. Ianya beroperasi di awal pagi untuk mereka yang mahu bersarapan. 

Selain nasi yang lembut dan enak. Yang paling bagus di sini adalah ikan tongkol di dalam kuah jumlahnya amat mencukupi, tidak seperti di setengah tempat yang terlalu berkira. Anda pasti tidak menyesal dan mungkin akan berkunjung lagi ke sini.


Thursday, 19 June 2014

Nasi minyak superb kijal

Seawal jam 7.30 pagi telah kelihatan beberapa orang pelanggan menunggu walau pun pintu kedai masih tertutup. Jika di lihat tiada yang istimewanya kedai ini tapi di khabarkan nasi minyak di sini sedap dan berpatutan harganya.

Oleh kerana tidak mahu menunggu, saya pastikan saya ke kedai ini tepat jam 8.30 pagi di masa kedai ini di buka untuk pelanggan. Pada masa tersebut, pelanggan menyerbu masuk. Kebanyakannya membeli nasi minyak atau nasi lemak untuk keluarga di rumah. Tapi jangan risau, untuk makan di sini, selalunya tidak lah terlalu lama menunggu.


Nasi minyak berlauk ayam goreng berempah, kuah kurma, acar timun dan yang istimewa adalah kuah lada. Sungguh sedap sampai jika makan saya akan menghabiskannya cuma tinggal tulang ayam.

Satu saja pesanan jangan pergi ke kedai tersebut lebih dari jam 9.30 pagi kerana pada masa tersebut selalunya nasi minyak dan nasi lemak sudah habis di jual. Bayangkan sejam di buka dan segala makanan habis di jual, itu menunjukkan betapa sedapnya makanan pagi di sini.

Lokasi kedai ini adalah sebaris dengan kolej komuniti Kijal.


Thursday, 5 June 2014

Sotong Gunting Batu Rakit

Jika anda peminat sotong dan mahukan kelainan, boleh pergi menghala ke Pantai Batu Rakit Kuala Terengganu. Selain dari pantai yg memanjang, anda akan berjumpa dengan gerai-gerai makanan laut. Gerai-gerai di sini di buka pada waktu tengahari sehingga lewat petang.

Semua gerai di sini menjual makanan laut seperti ikan, sotong dan udang yang di celup tepung dan di goreng. Hanya satu gerai yang menyajikan kelainan dengan mengoreng sotong tanpa memotongnya. Bila anda memilih sotong celup tepung, ianya akan di sertakan sekali dengan gunting. Anda perlu mengunting sotong tersebut sendiri untuk menikmatinya.


Satu lagi yang unik di gerai tersebut, ia mengamalkan dasar layan diri. Anda terpaksa berebut untuk mengambil makanan anda. Jika anda seorang yang mengikut peraturan, emm...alamatnya anda terpaksa tunggu lama untuk mengambil makanan anda.

Wednesday, 25 December 2013

Tomyam Pok Tek, Kuala Terengganu

Terletak di Lot 2966, Off Kg. Banggol, Jalan Kamaruddin. Di khabarkan kedai makan ini adalah kepunyaan Hairuddin Omar atau di kenali sebagai Hai-O di kalangan peminat bola sepak. Di buka pada jam 8 malam sehingga 11 malam. Di namakan Kedai Adeq Sue Ikan Bakar.

Suasana masih tenang jam 8 malam

Untuk ke sini, dari Batu Buruk menghala Bukit kecil, bila berjumpa susur ke jalan pusara, teruskan. Di kiri anda, terdapat kedai Fella Design terus ke masuk jalan sebelah bangunan tersebut. Kelihatan pusat futsal dan teruskan. Dalam 500 meter, belok kanan  melalui jambatan kecil melintasi tali air, di sini lah kedai tersebut.

Tomyam Pok Tek

Menarik di sini adalah hidangan Tomyam Pok Tek. Ia adalah sejenis tomyam bersantan bersama hasil laut seperti udang, ketam dan lala.  Semua bahan-bahan di campur sesedap rasa yang pasti tidak mengecewakan dan akan membuatkan anda mahu ke sini semula. Tidak keterlaluan di katakan bahawa inilah masakan tomyam yang sungguh sedap di Terengganu.

Ikan Stim

Selain dari itu, saya merasakan hidangan Ikan Siakap Stim juga agak menarik dan amat berbeza dengan yang terdapat di kedai masakan lain. Kelihatan cili dan bawang putih di mayang halus, menghasilkan rasa masam, pedas dan manis yang sangat harmoni bersertakan isi ikan yang lembut. Bagi saya, ikan stim ini sungguh memikat selera.

Di sini terdapat juga masakan lain seperti ikan atau sotong bakar dan juga masakan ala Thailand yang lain. Terdapat juga "stimboat".


Wednesday, 20 November 2013

Bubur Asyura, Terengganu

Bubur asyura selalunya di buat pada masa 10 muharram dalam kalender islam. Setiap negeri ada resipinya tersendiri, berbeza antara pantai barat dan pantai timur semenanjung Malaysia.


Rasanya yang unik mempunyai peminat yang tersendiri. Disediakan dengan kerjasama seluruh komuniti kampung dengan bahan-bahan daripada sedekah. Setelah siap di masak, ianya diagih-agihkan kepada seluruh warga setempat.


Pada zaman moden, acara memasak dan menghias bubur asyura juga di jadikan pertandingan tahunan. Di pertandingan ini, rasa dan hiasan akan di adili. Acara sebegini dapat mengeratkan lagi hubungan seluruh warga sesebuah kampung.


Sunday, 17 November 2013

Kedai Makan Dua Ringgit, Kemaman

Nama Kedai Makan Dua Ringgit di berikan oleh suami kerana sebelum Pilihanraya ke 13, harga makanan di sini cuma RM2 sepinggan. Bercakap dengan pemilik kedai, katanya dia membeli barang basah secara tunai dan tapak kedai adalah milik sendiri, itu menyumbangkan pada harga yang murah. Tapi sekarang, dengan kenaikan harga barangan baru-baru ini, ia telah meningkat kepada RM2.50 sepinggan.


Kedai ini di buka sekitar jam 4 petang setiap hari kecuali jumaat. Dengan lokasinya yang bagus di tepi jalan besar, ramai pelanggan terdiri dari lelaki-lelaki bujang yang datang untuk makan selepas waktu pejabat. Selalunya jam 9 malam ke atas, makanan sudah beransur habis. Tidak susah untuk ke sini, dari Petronas Bukit Kuang, perlahankan kenderaan anda. Selepas melintasi beberapa buah rumah di kiri anda, kelihatan kedai tersebut.


Di sini ada dijual nasi lemak, nasi dagang, nasi kunyit, laksam, laksa penang, keropok, popia goreng dan karipap. Makanan kegemaran saya di sini adalah laksa penang, sungguh enak terasa seperti laksa tulen dari utara. Saya juga suka makan keropok goreng, tapi ianya tidak sesuai di bawa pulang, kerana keropok akan jadi kecut dan liat.


Tuesday, 12 November 2013

Hailam Kopitiam, Chukai

Bandar Chukai di Kemaman terkenal dengan kopitiam yang banyak berselerak di sekitar bandar. Selain dari Kopitiam Hai Peng yang banyak di ceritakan orang, saya tertarik untuk makan malam di Hailam Kopitian yang terletak berdekatan balai bomba Chukai.

Di sini selain dari kopi, ianya juga ada menghidangkan minuman seperti jus, teh, cendol dan lain-lain. Untuk makanan pula, hidangan tempatan seperti hidangan cina, melayu dan india, terdapat juga hidangan dari barat.

Seawal kedatangan saya ke dalam kedai, seorang pelayan sudah datang memberikan menu, sebatang pensil dan sehelai kertas pesanan. Di sini ada perlu menulis sendiri pesan yang anda mahu di atas kertas dan kemudian memberi semula kertas tersebut kepada pelayan.


Antara makanan yang sedap di sini adalah kuey teow goreng. Di goreng bersama-sama udang dan ianya cukup enak tetapi kuantitinya terlalu sedikit. Untuk mereka yang selera besar, pasti tidak cukup. Anda di nasihatkan memesan satu lagi hidangan sampingan seperti popiah goreng, kentang goreng atau lain-lain. Hidangan "fish & chip" juga tidak mengecewakan. Manakala "chicken chop with mushroom sauce" sederhana.



Harga di kopitiam agak mahal berbanding harga di kedai-kedai makanan biasa. Sepinggan kuey teow goreng berharga RM7.80, hailam kopi berharga RM 3.20 secawan dan harga segelas air suam adalah RM0.80. Terdapat juga 5% cukai perkhidmatan di kenakan ke atas harga keseluruhan makanan yang di pesan.

Thursday, 7 November 2013

Roti Canai Ikan, Kijal

Keluar saja dari tempat kerja pada jam 6 petang, perut terasa lapar. Otak mula ligat berfikir hendak makan apa pada malam ini. Tiba-tiba teringat pada roti canai ikan di Kijal. Roti canai ikan ini di perkenalan oleh seorang kenalan di kilang. Katanya jika cuba sekali, pasti akan bertandang lagi.


Terus saja saya memandu menghala ke pekan lama Kijal. Kedai tersebut terletak berdekatan balai polis, cuma selang dua rumah rasanya. Kedai tersebut agak kecil dan berpagar kuning. Jadi anda perlu memperlahankan kereta untuk pastikan anda tidak terlepas kedai tersebut.

Cara membuatnya adalah sama dengan roti canai telur, cuma gantikan telur dengan serunding ikan. Ianya akan di sertakan kuah kari dan kuih dal. Saya suka campurkan kedua-dua kuah tersebut. Selepas itu roti canai ikan Ianya juga enak di makan begitu sahaja tanpa kuah.

Selalunya saya membeli tiga keping roti canai ikan untuk di bawa pulang. Harga untuk tiga keping adalah RM4.50. Murah dan enak, baunya saja cukup membuatkan kita tidak sabar untuk menikmatinya. Kedai ini ditutup pada hari jumaat.

Kedai Makan Harga Patut, Chukai

Sebelum ini, pada jam 8 malam, setiap kali melalui jalan dari hadapan Center Point, Chukai menghala ke Kuantan, kelihatan banyak kereta dan ramai orang di Kedai Tayar Dunlop di sebelah kiri berhadapan dengan Caltex Petrol Station. Yang pasti mereka di situ bukan untuk menukar tayar kereta. Rupanya satu gerai menjual juadah makanan di buka di tapak kedai tayar tersebut.


Semalam saya mengambil peluang untuk menjamu selera di situ. Tempat makan tidaklah sebagus makan di restoren tapi itu tidaklah membuatkan saya tidak selesa. Kami memesan dua pinggan laksam (sejenis makanan Terengganu) dan dua gelas teh panas. Ada juga makanan lain di jual seperti nasi lemak.

Semuanya berharga RM7 sahaja untuk dua pinggan laksam bersama dua gelas teh panas. Bersamaan RM3.50 untuk seorang makan. Sungguh berbaloi, kuantiti laksam banyak dan kualiti juga memuaskan. Rasa air teh juga tidak mengecewakan.


Monday, 4 November 2013

Nasi Kerabu Pengkalan Pandan, Chukai

Sejarah asalnya nasi kerabu masih samar-samar, samada dari Kelantan atau Terengganu. Tapi sejarah masakan dari dua negeri ini tidak jauh berbeza. Nasi Kerabu Kelantan dan Nasi Kerabu Terengganu, adalah sama dengan sedikit berbezaan cara penyediaan dan sedikit citarasa yang berbeza.


Nasi kerabu adalah sejenis makanan yang terdiri dari nasi, ulam-ulam yang di hiris halus, di titiskan beberapa sudu kecil budu, air lada dan perencah tumis berserta ayam atau daging bakar. Nasinya ada yang berwarna biru tetapi di sini nasi kerabunya hanya berwarna putih. Walaupun begitu rasanya tetap enak terutama daging bakarnya sungguh sedap dan tidak liat.


Untuk ke kedai tersebut, jika anda dari Dungun, selepas traffic light di hadapan hospital Kemaman,  anda memandu terus sehingga berjumpa satu lagi traffic light, masuk jalan ke kanan dan terus memandu sampai anda melihat papan tanda jalan "Jalan Pengkalan Pandan" berdekatan longkang besar di sebelah kanan anda dan ada juga kedai nasi kerabu di sebelah kiri anda,  belok masuk ke jalan tersebut. Memandu terus sehingga berjumpa simpang ke kanan (kelihatan banyak kereta untuk di sewa di letakkan di dalam garaj), belok ke simpang tersebut dan anda akan berjumpa kedai nasi kerabu di sebelah kanan anda.

Kedai dibuka waktu sarapan setiap hari kecuali sabtu.

Karipap Panas Taman Gelora

Dari Megamall Kuantan, kereta kami bergerak menghala ke Taman Gelora. Selain dari pantai dan taman yang indah di sini, terdapat satu lagi tarikan iaitu karipap panas. Gerai menjual karipap ini telah wujud agak lama di situ. Tidak sah berkunjung ke sini tanpa menjamah karipap panas tersebut.


Semasa kami sampai pada jam 3 petang, kelihatan sebarisan orang beratur untuk membeli. Di sini juga ada di sediakan bangku-bangku dan meja-meja untuk pelanggan menjamu selera. Selain pada karipap, kuih cucur udang, popiah, minuman sejuk dan minuman panas juga ada di jual.


Harga sebiji samada karipap atau cucur udang atau popiah adalah RM1 satu. Harganya agak mahal tapi amat berbaloi dengan keenakannya. Selain pada itu, layanan yang di beri juga memuaskan. Tuan punya kedai bernama Pak Ngah, sungguh mesra bersesuaian dengan bidang yang di ceburi.

Sepanjang pemerhatian saya di sini, orang semakin ramai beratur menjelang petang hari. Berbagai bangsa kelihatan, ada yang bersama keluarga makan di sini dan ada yang membawa pulang sekurang-kurangnya satu plastik penuh karipap.

Friday, 25 October 2013

Nasi Lemak Greenwood

Sesampai saja di Tol Gombak pada jam 8.30 malam, perut terasa lapar. Tiba-tiba terlintas untuk makan di Greenwood. Sudah terlalu lama saya tidak ke sana. Hanya deretan kedai-kedai kecil yang terletak di persisir jalan utama tergambar di fikiran. Satu persoalan, apa yang ada di situ? Kali terakhir lama dulu, saya berhenti untuk makan makanan ala Thai.

Greenwood tidak banyak berubah dari dulu. Tetap sama, sibuk dengan kereta yang sedikit kelam kabut dan suasana juga sesuram dahulu. Selepas meletak kereta di jalan belakang, terus berjalan ke deretan kedai berhampiran jalan utama.


Dari kejauhan kelihatan orang berbaris panjang. Persoalan mula menerjah di fikiran, apa yang di jual di situ sampai oranh sanggup berbaris panjang. Rupanya mereka semua hendak menikmati nasi lemak. Saya pun turut bersama-sama berbaris. Tidak terlalu lama berbaris giliran saya telah tiba. 


Nasi lemak di sini istimewa, di alas daun pisang dan kita dapat memilih untuk menikmatinya dengan lauk-pauk seperti sambal sotong, daging rendang, daging gulai, ayam goreng, ayam gulai, paru goreng, telur goreng dan lain-lain. 

Bau wangi dari nasi di alas daun pisang betul-betul membuka selera. Sambal sotong juga tidak mengecewakan. Harga amat berpatutan dengan kuantiti lauk dan nasi yang banyak. Harga nasi lemak sambal sotong dan teh tarik hanya RM5.50. Nama kedai ini "Ujang Nasi Lemak Corner".







Saturday, 13 July 2013

Rojak Pak Din Kuala Terengganu

Ini adalah makanan kegemaran saya sejak dari kecik hingga lah sekarang. Rasanya tidak banyak berubah dan kesedapan nya tetap sama. Setiap kali berkunjung ke Kuala Terengganu tidak lengkap jika tidak merasa rojak tersebut.


Di jual di atas kereta tolak di hadapan surau berdekatan Perhentian Bas Tanjung (sekarang perhentian bas telah berpindah tapi kedai rojak tetap di situ). Sambutan pelanggan di bulan puasa juga sangat mengalakkan. 

Rojak hanya akan di sediakan bila ada pembelian. Segala bahan-bahan seperti kentang goreng, telur rebus yang di goreng, tepung garing, tepung seperti jemput-jemput dan mee  akan di potong di situ dan di masukkan ke dalam bag plastik bersama-sama kuah rojak yang siap di asingkan.


Harga sebungkus rojak biasa dan rojak ayam hanya Rm3 dan Rm4. Harga untuk rojak biasa adalah berpatutan tapi dengan kenaikan Rm1 untuk sedikit ayam dan paru di dalam rojak ayam harganya di rasakan sedikit mahal.

Friday, 12 July 2013

Pasar Ramadan Jalan Budiman Kuala Terengganu

Umat islam telah mula berpuasa sejak hari rabu lagi. Sudah 3 hari berpuasa, baru lah hari ini saya sempat menjejakkan kaki ke pasar ramadan. Mengunjungi pasar ramadan adalah perkara yang menarik bagi sesetengah orang.


Kebanyakan tempat terdapat pasar ramadan, ianya bermula seawal jam 4 petang dan tamat pada waktu berbuka. Lokasi nya di tempat tumpuan ramai seperti di Jalan Budiman, Kuala Terengganu. Tidak susah mencari tempat meletak kenderaan kerana bahu jalan yang lebar memudahkan segalanya.


Begini lah suasana pasar ramadan pada jam 6 petang. Orang semakin bertambah dan kesibukan kian terasa. Di sini beraneka lauk-pauk, kuih-muih, minuman dan lain-lain di jual dengan harga yang berpatutan. Masakan dan kuih lebih ke arah selera Terengganu.


Ini adalah makanan kegemaran saya, murtabak daging. Saya suka yang sedikit garing. Apabila di makan murtabak sungguh sedap di cicah dengan air merah. Harga murtabak di sini sangat perpatutan dengan Rm2.50 satu. Ianya satu pembelian yang bijak.