Wednesday 25 December 2013

Tomyam Pok Tek, Kuala Terengganu

Terletak di Lot 2966, Off Kg. Banggol, Jalan Kamaruddin. Di khabarkan kedai makan ini adalah kepunyaan Hairuddin Omar atau di kenali sebagai Hai-O di kalangan peminat bola sepak. Di buka pada jam 8 malam sehingga 11 malam. Di namakan Kedai Adeq Sue Ikan Bakar.

Suasana masih tenang jam 8 malam

Untuk ke sini, dari Batu Buruk menghala Bukit kecil, bila berjumpa susur ke jalan pusara, teruskan. Di kiri anda, terdapat kedai Fella Design terus ke masuk jalan sebelah bangunan tersebut. Kelihatan pusat futsal dan teruskan. Dalam 500 meter, belok kanan  melalui jambatan kecil melintasi tali air, di sini lah kedai tersebut.

Tomyam Pok Tek

Menarik di sini adalah hidangan Tomyam Pok Tek. Ia adalah sejenis tomyam bersantan bersama hasil laut seperti udang, ketam dan lala.  Semua bahan-bahan di campur sesedap rasa yang pasti tidak mengecewakan dan akan membuatkan anda mahu ke sini semula. Tidak keterlaluan di katakan bahawa inilah masakan tomyam yang sungguh sedap di Terengganu.

Ikan Stim

Selain dari itu, saya merasakan hidangan Ikan Siakap Stim juga agak menarik dan amat berbeza dengan yang terdapat di kedai masakan lain. Kelihatan cili dan bawang putih di mayang halus, menghasilkan rasa masam, pedas dan manis yang sangat harmoni bersertakan isi ikan yang lembut. Bagi saya, ikan stim ini sungguh memikat selera.

Di sini terdapat juga masakan lain seperti ikan atau sotong bakar dan juga masakan ala Thailand yang lain. Terdapat juga "stimboat".


Tuesday 17 December 2013

Banjir di Kemaman part 4

Hari Khamis bersamaan 05 Dec 2013, saya tidak ke tempat kerja dan hanya berehat di rumah. Persoalan yang di lontarkan di WhatsApp keluarga bertanya khabar sepupu tidak berjawab. Tidak lama kemudian pesanan dari makcik mengatakan yang sepupu sedikit terperanjat dengan keadaan rumahnya yang di naiki air semalam.

Nasib baik sepupu menumpang di rumah ibunya. Tetapi ibu bapanya berada di Kuala Lumpur dan tidak dapat pulang kerana jalan di tutup. Pagi itu saya melawat sepupu. Keadaan emosi nya agak tidak stabil. Tiada yang sempat di selamatkan. Anaknya juga kelihatan terperanjat, mungkin trauma dengan peristiwa bersama pengasuh menyelamatkan diri di masa air banjir sedang naik.

Jalan utama bandar Chukai

Bandar Kemaman lumpur. Segala kommunikasi melalui talian tetap atau talian mudah alih sangat sukar. Pengguna maxis dan celcom terjejas teruk. Hanya servis digi yang agak bagus. Bekalan air dan elektrik sudah di putuskan sejak semalam. Sesungguhnya tidak dapat di bayangkan mangsa dan penyelamat perlu berusaha ke tempat yang selamat di waktu awal pagi yang gelap dan arus yang laju tersebut. Di sertakan lagi dengan air yang meningkat naik dengan cepat.

Salah satu jalan di bandar Chukai

Keesokan harinya air di rumah saya sudah tiada. Kami menadah air hujan untuk mandi dan membersih diri. Keadaan itu berlaku selama empat hari. Tempias banjir cukup di rasa oleh kami tetapi tidak dapat menandingi kepayahan mangsa-mangsa banjir. Tapi syukur tetap ada kerana kami masih lagi bernyawa.

Pada Allah, saya berharap moga mangsa-mangsa banjir di beri ketabahan dan kesabaran di atas ujian yang sangat berat ini. Mungkin musibah ini adalah peringatan kepada kami  dan moga kami semua semakin patuh kepada segala suruhan Mu.

Sunday 15 December 2013

Banjir di Kemaman part 3

Sepupu saya yang terkandas di KLIA melahirkan kerisauan tentang anak lelaki berumur setahun yang di tinggalkan kepada pengasuh di Kemaman kerana beliau bekerja di luar daerah. Tidak dapat di bayangkan perasaan seorang ibu pada saat yang genting ini dengan paras air semakin naik.

Awal pagi di kawasan Perumahan Bukit Kuang

Jam 1.20 pagi bertarikh 4 Dec 2013 bersamaan hari rabu. Air naik sedikit di beberapa tempat kawasan perumahan saya. Tapi alhamdulillah rumah saya tidak dimasuki air. Mungkin faktor rumah yang terletak berdekatan dengan bukit sedikit sebanyak membantu. Saya tertidur dengan keadaan berjaga-jaga.

Jam 2 pagi, apa yang di takutkan oleh sepupu saya terjadi. Tempat yang tidak pernah di naiki air, telah pun banjir. Rumah pengasuh anak lelakinya di naiki air dan mereka bersiap untuk berpindah. Suami sepupu saya tidak dapat ke rumah pengasuh kerana jalan sudah tidak dapat di lalui oleh kenderaan dan arus deras.

Pagi nya saya masih ke tempat kerja dan suami juga menuju ke Kerteh untuk mesyuarat. Hujan masih lagi turun dengan lebat. Perjalanan dari Bukit Kuang - Kerteh tidak di naiki air.

Di hadapan Bank Islam, Bandar Chukai

Di beritakan pada jam 8.30 pagi, bekalan elektrik di bandar Chukai di potong. Air semakin naik. Bukit mentok, Pasir Minal, Binjal, Mak Cili, Fikri, Mak Lagam dan Geliga sudah di naiki air. Bekalan air bersih juga tiada di sertakan pula masalah talian telipon yang terjejas juga. Seluruh Kemaman lumpuh.

Jalan utama memasuki bandar Chukai dari Cherating 

Sepupu saya berjaya mendarat di Kuala Terengganu pada jam 9 pagi. Dia mengambil bas balik ke Kemaman. Di khabarkan rumahnya di naiki air. Hubungan dengannya terputus selepas beberapa jam, dia tidak lagi menghantar berita kepada WhatsApp keluarga.

Jambatan di dalam bandar Chukai

Sekitar jam 4 petang, jambatan di tengah bandar Chukai retak di sebabkan arus deras air banjir. Di beritakan banjir semakin buruk, banyak jalan keluar dari Kemaman sudah di tutup pada semua kenderaan kecuali jalan ke Dungun. Ada ramai mangsa banjir yang terperangkap dan mereka sudah sehari semalam tidak makan. Stok makanan tidak dapat di hantar kerana arus deras.

Petang itu saya pulang ke rumah dengan rakan sekerja. Satu kereta di tinggalkan di kawasan kilang. Hujan masih lagi turun dengan lebat. Suami mengatakan bahawa kereta yang dia tinggalkan di pejabatnya di Kawasan Perindustrian Jakar telah di masuki air. Hanya kereta wira lama yang ada untuk kami gunakan. Sampai di rumah, alhamdulillah rumah masih selamat. Bekalan elektrik dan air juga masih ada.

Friday 13 December 2013

Banjir di Kemaman part 2

Pada 3 Dec 2013 bersamaan hari selasa. Seperti biasa saya pergi kerja, hujan turun dengan lebat sepanjang berjalanan ke Kerteh. Saya melalui empat batang sungai, semua aras sungai tersebut kelihatan tinggi dan melimpah membanjiri sisi.

Pada jam 10 pagi, mesyuarat masih lagi tidak dapat di jalankan kerana menunggu dua orang yang masih terperangkap di dalam kesesakan di Jambatan Bukit Kuang, Kemaman. Seorang tidak dapat hadir kerana kapal terbang tidak dapat darat di Kerteh kerana hujan lebat dan angin kencang.

Jalan Jerangau - Jabor

Pesanan dari WhatsApp keluarga tidak putus-putus dengan laporan terkini banjir. Jam 10pagi adik perempuan bertolak dari Kuala Terengganu melalui Jalan Jerangau -Jabor. Banyak kali kenderaan terpaksa meredah banjir. Alhamdulillah mereka sampai juga ke Kuala Lumpur walau hujan lebat sepanjang perjalanan.

Bandar Kuantan

Selesai mesyuarat jam 1 tengahari, dua orang dari Kuala Lumpur bertolak balik, hujan masih tidak berhenti di Kerteh. Jam 5 petang, melalui WhatsApp dapat makluman yang dua orang tadi tersekat di jalanraya menuju ke Plaza Tol Jabor kerana banjir. Mereka bermalam di Kuantan pada malam tersebut. Tidak di ketahui di mana kerana bandar Kuantan juga di landa banjir sejak jam 3 petang

Felda Seberang Tayor

Berbalik pada Kemaman, sekitar jam 4 petang di Kemaman juga banyak kawasan telah di naiki air seperti di Felda Seberang Tayor, Air Putih dan Bukit Mentok. Jalan Kemaman - Cherating dan setenggah jalan di Jerangau - Jabor - Kuala Terengganu di tutup pada semua kenderaan. Keadaan bertambah buruk.

Saya bertolak balik ke rumah jam 6 petang. Memandu dengan berhati-hati untuk mengelak lubang-lubang yang banyak di jalanan. Hujan masih tidak berhenti. Sesampai di rumah, saya mengucapkan syukur kerana kawasan perumahan bebas banjir.


Lewat petang di Kuala Lumpur seorang rakan sekerja berkira-kira untuk pulang ke Kerteh selepas menamatkan latihan di KLCC. Saya menasihatkan nya agar tidak bertolak pulang dalam keadaan banjir begini. Lagipun melalui WhatsApp terdapat gambar Lebuhraya Pantai Timur di landa banjir di daerah Temerloh. Dia meneruskan penginapan di Kuala Lumpur.

Seorang sepupu saya yang di jadualkan berlepas jam 10 malam dengan kapal terbang pada malam ini ke Kuantan di batalkan penerbangan di saat akhir. Dia terpaksa tidur di Kuala Lumpur International Airport untuk menaiki pesawat keesokan hari untuk ke Kuala Terengganu.

Malam itu saya tidur dengan perasaan takut berlegar di kepala di selangi bunyi hujan yang lebat mencurah.

Banjir di Kemaman part 1

Pada 2 Dec 2013 jam 6.45pagi, semasa saya dalam perjalanan ke kedai makan di Teluk Kalong untuk bersarapan, nyaris kereta saya melanggar pokok tumbang. Pokok tersebut menghalang sebelah jalan.

Selepas itu berjalanan ke kilang di Kerteh tiada masalah kecuali hujan renyai-renyai kadangkala lebat. Seharian di kilang, saya terpaksa memakai baju hujan untuk bergerak dari satu bangunan ke bangunan yang lain.

Jam 3.30 petang dari laman WhatsApp keluarga, hangat di perkatakan hujan lebat sejak 30 Nov telah mengakibatkan area di Bukit Kuang banjir. Saya masih di kilang memerhati perbualan dengan penuh minat. Pada jam 5.30 petang, suami menghantar pesanan ke telipon mengatakan kawasan berdekatan rumah di naiki air.

Surau berdekatan rumah

Tanpa berlengah saya mencapai kunci kereta dan bertolak balik. Sepanjang berjalanan selama 40 minit berkereta di tambah pula hujan lebat dan suasana gelap terasa sangat tertekan. Saya terpaksa memandu dengan lebih berhati-hati risau air lintas di atas jalan raya akan buatkan kereta saya terbabas.

Jalan masuk ke rumah


Alhamdulillah sampai saja di rumah. Jalan di kawasan taman perumahan sudah surut airnya dan jalan masuk yang tadinya tidak boleh di lalui kereta telah dapat di lalui semula. Tiada air banjir di rumah saya tapi atas langkah berhati-hati saya meninggalkan kereta di atas jalan raya yang agak tinggi, sebagai persediaan jika berlaku limpahan air lagi di kawasan rumah.

Di sekitar bandar Chukai juga air telah memenuhi jalan. Jalan di hadapan bangunan membeli-belah Center Point,  di hadapan balai bomba dan di pasaraya Nirwana telah di naiki air. Jabatan Kaji Cuaca meramalkan pada malam ini, hujan lebat akan turun berserta dengan air laut pasang setinggi dua ke tiga meter menjelang tengah malam. Semua yang berada dikawasan rendah di minta berhati-hati dengan kemungkinan banjir.

Pejabat Risda Kemaman pada petang 2 Dec 2013.

Hadapan Center Point, Kemaman pada petang 2 Dec 2013.








Sunday 24 November 2013

Santuari Gajah, Kenyir

Santuari Gajah, Kenyir terletak di Sungai Ketiar. Jika anda dari Kuala Terengganu, ianya 140KM dan anda hanya perlu menghala ke Lebuh raya Tasik Kenyir, terdapat papan tanda untuk ke sini. Jika anda dari Felda Aring, ianya hanya 11KM.


Pusat Perlindungan Gajah ini kecil. Hanya terdapat beberapa esok gajah sahaja tetapi mencukupi untuk memgembirakan kanak-kanak. Anda boleh menghampiri gajah dengan dekat, cuma dipisahkan oleh penghadang simen.

Gajah-gajah di sini dijaga dengan sempurna. Pusat ini dikendalikan oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Pengurusan Taman Negara. Saya pun berpeluang melihat anak gajah yang comel.


Ianya di buka setiap hari bermula dari 11am sehingga 5pm. Terdapat sebuah kedai makan kecil dan tandas sebelum pintu pagar pusat ini. Sangat sesuai untuk berehat sekejap setelah perjalanan yang panjang. Saya berhenti di sini semasa perjalanan pulang dari Cameron Highland.

Friday 22 November 2013

Berkhemah di Cameron Highland

Kami mulakan perjalanan dari Chukai - Jengka - Kuala Lipis - Cameron Highland di awal pagi. Satu sahaja nasihat untuk mereka yang mahu mengikut jejak kami melalui jalan tersebut, pastikan kenderaan anda dalam keadaan baik.

Sampai saja di Cameron Highland hari sudah beransur gelap. Cuma satu hotel yang ada kekosongan bilik pada malam tersebut. Kami bermalam di situ. Keesokan harinya kami mendaftar keluar dan menuju ke Tapak Perkhemahan Sungai Pauh.


Tapak Perkhemahan ini terletak di kawasan Jabatan Hutan dan berdekatan Slim Camp. Untuk berkhemah di sini, bayaran sebanyak RM3 seorang (sekali bayar sahaja) dan RM20 semalam untuk setiap khemah di kenakan. RM20 adalah bayaran untuk lampu elektrik berdekatan khemah.

Khemah boleh di pasang di atas tapak simen yang telah di sediakan. Masa di ambil bersama suami untuk memasang khemah tidak sampai 10minit. Kemudian kami alaskan tikar plastik di dalam khemah bertujuan mengurangkan kesejukan di malam hari. Selesai memasukkan barangan, kami bergerak ke kereta untuk acara melawat ladang teh.


Kami pulang ke Tapak Perkhemahan sekitar jam 6 petang. Berdekatan terdapat 7 biji khemah lagi. Bilangan anak muda dan keluarga yang berkhemah seimbang. Selain dari bangsa melayu dan cina, terdapat juga bangsa arab yang berkhemah di sini.

Di sini, ada sebatang alor sungai yang jernih. Amat sesuai untuk kanak-kanak bermain air. Kemudahannya juga bagus, terdapat pondok-pondok, tempat BBQ, surau, tandas & bilik mandi lelaki dan tandas & bilik mandi perempuan. Untuk caskan telipon tangan, terdapat suis-suis di pondok-pondok dan surau.


Suasana malam di sini sangat sunyi, hanya kedengaran bunyi air sungai mengalir beserta bunyian serangga kecil. Hujan juga turun sekejap-sekejap, menjadikan cuaca di dalam khemah bertambah sejuk. Nasib baik kami berada di dalam "sleeping bag" masing-masing di tambah pula dengan selimut, kami dapat melalui malam tersebut dengan aman.

Pengalaman berkhemah di Cameron Highland mengundang pengalaman yang menarik dan mencabar. Jika anda merancang untuk berkhemah di sini, sila lah membuat tempahan tapak dengan Jabatan Hutan terutama pada musim cuti sekolah selalunya Tapak Perkhemah ini di penuhi kumpulan-kumpulan besar.



Misteri Telaga Simpul, Kemaman

Terletak di pantai Marina, kira-kira 15km daripada bandar Chukai. Untuk ke sini, anda perlu menuju jalan menghala ke Kemaman Supply Base, dari situ akan dapat di lihat papan tanda untuk ke sini.


Sampai saja di situ, anda akan dapat melihat sebuah perigi lama. Dahulunya perigi itu di kelilingi papan, sekarang binaan simen telah mengambil alih peranan tersebut. Di ceritakan pada zaman dahulu, ramai pedagang-pedagang datang berlabuh di sini. Mereka berehat sambil mengunakan air perigi tersebut. Selepas mengambil air perigi, mereka akan menyimpulkan daun pandan yang terdapat di sekitar untuk mengelak malapetaka. Di fahamkan air perigi tersebut tidak pernah kering. Ianya juga tawar walau terletak berdekatan laut.


Pantai di sini di redupkan dengan banyak pokok-pokok rhu yang tumbuh merata. Pengunjung boleh berehat di pondok-pondok yang di sediakan atau boleh saja bentangkan tikar dengan berbumbungkan pokok rhu. Selain dari pengunjung yang bersantai, pantai ini juga adalah salah satu tempat orang memancing. Mungkin batu-batu yang terdapat di pantai ini menjadi tempat ikan bermain.


Selain dari pondok-pondok rehat, kemudahan lain di sini agak bagus. Terdapat kedai-kedai makan, tandas, surau dan tempat permainan kanak-kanak. Kedai-kedai makan di buka setiap hari dari tengahari hingga ke petang kecuali hari jumaat.

Pantai Cherating, Pahang

Hari sabtu saya menuju pantai Cherating yang cuma mengambil masa tidak sampai 30 minit dari Chukai dengan berkereta. Hentian pertama adalah di Residence Resort dan Cherating Bay, tetapi malangnya kedua-duanya telah penuh. Hentian kedua di chalet yang berdekatan pantai, juga penuh. Mungkin musim cuti sekolah yang memenuhi semua. Niat untuk menginap bersama kawan-kawan pejabat di kuburkan sahaja.


Dengan sedikit kecewa, saya menghala ke pantai. Banyak perubahan dari kali terakhir saya ke sini. Ada tempat persalinan, tandas, kedai makan dan semakin banyak chalet-chalet kecil yang tumbuh bagai cendawan. Semestinya ramai orang juga.


Terdapat sekumpulan remaja lelaki bermain  bola tampar pantai. Di kalangan mereka, ada seorang remaja asing bermain sama, kelihatan seperti telah agak lama dia bercuti di sini. Berdekatan, ada satu lagi kumpulan remaja sedang bermain bola sepak pantai. Lain-lain pengunjung bersantai di tepian pantai dan ada yang mengambil peluang mandi laut.


Oleh kerana pantai Cherating berteluk, ianya agak selamat untuk mandi di situ. Tapi pada musim tengkujuh sekarang, silalah peka dengan keadaan laut sebelum mandi. Pasir pantai putih, sangat menarik. Anak-anak kecil pasti tidak melepaskan peluang membina istana pasir.

Kata orang, jika mahu ketenangan, pandang ke laut. Laut pasti dapat meredakan kegelisahan anda.


Wednesday 20 November 2013

Bubur Asyura, Terengganu

Bubur asyura selalunya di buat pada masa 10 muharram dalam kalender islam. Setiap negeri ada resipinya tersendiri, berbeza antara pantai barat dan pantai timur semenanjung Malaysia.


Rasanya yang unik mempunyai peminat yang tersendiri. Disediakan dengan kerjasama seluruh komuniti kampung dengan bahan-bahan daripada sedekah. Setelah siap di masak, ianya diagih-agihkan kepada seluruh warga setempat.


Pada zaman moden, acara memasak dan menghias bubur asyura juga di jadikan pertandingan tahunan. Di pertandingan ini, rasa dan hiasan akan di adili. Acara sebegini dapat mengeratkan lagi hubungan seluruh warga sesebuah kampung.


Sunday 17 November 2013

Kedai Makan Dua Ringgit, Kemaman

Nama Kedai Makan Dua Ringgit di berikan oleh suami kerana sebelum Pilihanraya ke 13, harga makanan di sini cuma RM2 sepinggan. Bercakap dengan pemilik kedai, katanya dia membeli barang basah secara tunai dan tapak kedai adalah milik sendiri, itu menyumbangkan pada harga yang murah. Tapi sekarang, dengan kenaikan harga barangan baru-baru ini, ia telah meningkat kepada RM2.50 sepinggan.


Kedai ini di buka sekitar jam 4 petang setiap hari kecuali jumaat. Dengan lokasinya yang bagus di tepi jalan besar, ramai pelanggan terdiri dari lelaki-lelaki bujang yang datang untuk makan selepas waktu pejabat. Selalunya jam 9 malam ke atas, makanan sudah beransur habis. Tidak susah untuk ke sini, dari Petronas Bukit Kuang, perlahankan kenderaan anda. Selepas melintasi beberapa buah rumah di kiri anda, kelihatan kedai tersebut.


Di sini ada dijual nasi lemak, nasi dagang, nasi kunyit, laksam, laksa penang, keropok, popia goreng dan karipap. Makanan kegemaran saya di sini adalah laksa penang, sungguh enak terasa seperti laksa tulen dari utara. Saya juga suka makan keropok goreng, tapi ianya tidak sesuai di bawa pulang, kerana keropok akan jadi kecut dan liat.


Saturday 16 November 2013

Luncur air Pantai Batu Buruk, Terengganu

Pantai Batu Buruk yang terletak di Kuala Terengganu tidak perlu di perkenalkan lagi. Kebanyakan rakyat Malaysia mengetahui serba sedikit tentang pantai peranginan ini. Ianya adalah pantai yang di kunjungi ramai bukan saja pada hujung minggu tapi juga pada hari bekerja.

Di pantai ini banyak kemudahan di sediakan seperti gerai-gerai makan, padang permainan kanak-kanak, trek jogging, padang polo, pentas, tandas awan dan lain-lain. Berdekatan dengannya terdapat kolam renang awam, hospital besar, stadium tertutup, istana, rumah menteri besar, masjid dan sebagainya.


Pengunjung dapat memilih samada menginap di hotel, rumah rehat ataupun hotel apartment. Tetapi anda di nasihatkan membuat tempahan dahulu sebelum ke sini. Selalunya penginapan di sekitar pantai ini penuh dengan pelanggan di musim cuti.

Pantai di Batu Buruk hanya sesuai untuk bersantai sambil eratkan hubungan sesama keluarga. Pantainya agak merbahaya untuk aktiviti mandi-manda kerana kadangkala di sesetengah tempat lantai laut agak curam. Pada musim tengkujuh pula yang bermula pada penghujung october ke december, ketinggian ombak sangat ketara beserta angin kencang.


Telah lama saya tidak berkunjung ke sini. Sedikit kejutan dengan apa yang saya lihat, sekumpulan pemuda dan seorang pemudi sedang meluncur air atau di panggil "surfing". Ombak besar di gunakan sepenuh nya untuk sukan meluncur dan mengubah landskap pantai dengan drastiknya. Mereka tekun menunggu ombak besar untuk membolehkan meraka meluncur dengan sempurna.

Untuk mereka yang baru hendak berjinak-jinak dengan sukan luncur air, kelihatan seorang guru sedang mengajar seorang muridnya 2 meter dari pantai. Agak susah juga di lihat berlatih mengimbangi badan di atas sekeping papan di atas air. Rasanya untuk anak muda, itu semua cabaran yang membuatkan mereka lebih nekad.


Thursday 14 November 2013

Pantai Teluk Kalong, Kemaman

Suasana reduh di pagi hari, membuatkan saya ingin ke pantai. Selepas bersarapan pagi di salah satu warong di Teluk Kalong. Saya menghala ke pantai yang terletak kira-kira tidak sampai 1minit dengan berkereta.


Di pagi hari tidak ramai orang yang berkunjung ke pantai. Hanya terdapat satu keluarga yang sedang bersarapan pagi di bawah pokok rhu. Anak-anak kelihatan bermain pasir sambil berlari riang. Di satu sudut seorang ayah sedang mendukung anak, berjalan ke gigi air dengan tangan menunjukkan ke arah lautan.


Pantai ini sedikit berteluk berserta jajaran pasir yang memutih. Pantainya cukup luas, sesuai untuk melakukan aktiviti pantai. Terdapat tempat nelayan-nelayan persisir pantai melabuhkan perahu mereka. Air di tempat berlabuh tersebut sangat jernih. Sesuai untuk bermandi-manda.

Berdekatan situ juga, pantai telah di tambak dengan batu-batu. Mungkin terdapat hakisan pantai di sini dahulunya.  Kelihatan pemancing-pemancing tegar tekun memancing. Mereka kelihatan tenang, setenangnya lautan di hadapan.


Terdapat banyak kemudahan di pantai ini, seperti surau, tandas awam, kedai makan, gerai-gerai, gelangan bola sepak futsal, taman permainan kanak-kanak dan pondok-pondok rehat.

Tuesday 12 November 2013

Hailam Kopitiam, Chukai

Bandar Chukai di Kemaman terkenal dengan kopitiam yang banyak berselerak di sekitar bandar. Selain dari Kopitiam Hai Peng yang banyak di ceritakan orang, saya tertarik untuk makan malam di Hailam Kopitian yang terletak berdekatan balai bomba Chukai.

Di sini selain dari kopi, ianya juga ada menghidangkan minuman seperti jus, teh, cendol dan lain-lain. Untuk makanan pula, hidangan tempatan seperti hidangan cina, melayu dan india, terdapat juga hidangan dari barat.

Seawal kedatangan saya ke dalam kedai, seorang pelayan sudah datang memberikan menu, sebatang pensil dan sehelai kertas pesanan. Di sini ada perlu menulis sendiri pesan yang anda mahu di atas kertas dan kemudian memberi semula kertas tersebut kepada pelayan.


Antara makanan yang sedap di sini adalah kuey teow goreng. Di goreng bersama-sama udang dan ianya cukup enak tetapi kuantitinya terlalu sedikit. Untuk mereka yang selera besar, pasti tidak cukup. Anda di nasihatkan memesan satu lagi hidangan sampingan seperti popiah goreng, kentang goreng atau lain-lain. Hidangan "fish & chip" juga tidak mengecewakan. Manakala "chicken chop with mushroom sauce" sederhana.



Harga di kopitiam agak mahal berbanding harga di kedai-kedai makanan biasa. Sepinggan kuey teow goreng berharga RM7.80, hailam kopi berharga RM 3.20 secawan dan harga segelas air suam adalah RM0.80. Terdapat juga 5% cukai perkhidmatan di kenakan ke atas harga keseluruhan makanan yang di pesan.

Saturday 9 November 2013

Muzium Terengganu

Bersempena musim cuti sekolah yang akan tiba tidak lama lagi. Muzium Terengganu mengadakan pameran sejarah islam dan pameran haiwan berbisa bermula pada minggu ini sehingga penghujung december 2013. Kunjungan saya ke sini tidaklah di rancang. Oleh kerana terdapat kekosongan waktu, kami memilih untuk berkunjung ke sini untuk melihat warisan sejarah Terengganu.


Di pameran haiwan berbisa, ada pertunjukan ular. Agak menyeramkan bila melihat pemuda itu mahu menjinakkan ular. Walaupun kecil tapi nampak ular tersebut agak aktif. Selepas itu saya beredar ke dalam pusat pameran. Banyak ular-ular dalam dan luar negeri di pamerkan. Selain dari itu terdapat juga berbagai jenis lipan, labah-labah, kala jengking, ikan berbahaya, obor-obor, lebah dan landak laut.


Muzium Terengganu terletak di Bukit Losong. Ianya di buka jam 9 pagi - 5 petang setiap hari kecuali hari raya puasa dan hari raya korban. Tetapi untuk hari jumaat, jam 12 tengahari - 3 petang muzium akan di tutup untuk memberi laluan pada solat jumaat. Harga tiket untuk pengunjung tempatan adalah RM5 untuk dewasa dan RM2 untuk kanak-kanak. Bukan warganegara di kenakan RM15 dan RM10 untuk dewasa dan kanak-kanak.


Muzium ini adalah muzium terbesar di Asia Tenggara. Ianya terdiri dari 4 blok bangunan muzium utama, muzium maritim, 5 buah rumah tradisional serta kawasan landskap yang menarik dengan pokok-pokok menghijau. Di muzium utama terdapat galeri islam, galeri tekstil, galeri diraja, galeri sejarah, gelari kraft, galeri petroleum dan galeri ilmu kejadian. Di muzium maritim pula terdapat galeri perikanan dan galeri pelayaran & perdagangan.

Banyak yang dapat kita pelajari dari sejarah. Tamadun dunia lahirnya dari orang-orang terdahulu dari kita. Baca dan hayatilah dengan hati yang terbuka. Moga generasi kita dapat melahirkan sejarah yang gemilang.


Thursday 7 November 2013

Roti Canai Ikan, Kijal

Keluar saja dari tempat kerja pada jam 6 petang, perut terasa lapar. Otak mula ligat berfikir hendak makan apa pada malam ini. Tiba-tiba teringat pada roti canai ikan di Kijal. Roti canai ikan ini di perkenalan oleh seorang kenalan di kilang. Katanya jika cuba sekali, pasti akan bertandang lagi.


Terus saja saya memandu menghala ke pekan lama Kijal. Kedai tersebut terletak berdekatan balai polis, cuma selang dua rumah rasanya. Kedai tersebut agak kecil dan berpagar kuning. Jadi anda perlu memperlahankan kereta untuk pastikan anda tidak terlepas kedai tersebut.

Cara membuatnya adalah sama dengan roti canai telur, cuma gantikan telur dengan serunding ikan. Ianya akan di sertakan kuah kari dan kuih dal. Saya suka campurkan kedua-dua kuah tersebut. Selepas itu roti canai ikan Ianya juga enak di makan begitu sahaja tanpa kuah.

Selalunya saya membeli tiga keping roti canai ikan untuk di bawa pulang. Harga untuk tiga keping adalah RM4.50. Murah dan enak, baunya saja cukup membuatkan kita tidak sabar untuk menikmatinya. Kedai ini ditutup pada hari jumaat.

Kedai Makan Harga Patut, Chukai

Sebelum ini, pada jam 8 malam, setiap kali melalui jalan dari hadapan Center Point, Chukai menghala ke Kuantan, kelihatan banyak kereta dan ramai orang di Kedai Tayar Dunlop di sebelah kiri berhadapan dengan Caltex Petrol Station. Yang pasti mereka di situ bukan untuk menukar tayar kereta. Rupanya satu gerai menjual juadah makanan di buka di tapak kedai tayar tersebut.


Semalam saya mengambil peluang untuk menjamu selera di situ. Tempat makan tidaklah sebagus makan di restoren tapi itu tidaklah membuatkan saya tidak selesa. Kami memesan dua pinggan laksam (sejenis makanan Terengganu) dan dua gelas teh panas. Ada juga makanan lain di jual seperti nasi lemak.

Semuanya berharga RM7 sahaja untuk dua pinggan laksam bersama dua gelas teh panas. Bersamaan RM3.50 untuk seorang makan. Sungguh berbaloi, kuantiti laksam banyak dan kualiti juga memuaskan. Rasa air teh juga tidak mengecewakan.


Monday 4 November 2013

Nasi Kerabu Pengkalan Pandan, Chukai

Sejarah asalnya nasi kerabu masih samar-samar, samada dari Kelantan atau Terengganu. Tapi sejarah masakan dari dua negeri ini tidak jauh berbeza. Nasi Kerabu Kelantan dan Nasi Kerabu Terengganu, adalah sama dengan sedikit berbezaan cara penyediaan dan sedikit citarasa yang berbeza.


Nasi kerabu adalah sejenis makanan yang terdiri dari nasi, ulam-ulam yang di hiris halus, di titiskan beberapa sudu kecil budu, air lada dan perencah tumis berserta ayam atau daging bakar. Nasinya ada yang berwarna biru tetapi di sini nasi kerabunya hanya berwarna putih. Walaupun begitu rasanya tetap enak terutama daging bakarnya sungguh sedap dan tidak liat.


Untuk ke kedai tersebut, jika anda dari Dungun, selepas traffic light di hadapan hospital Kemaman,  anda memandu terus sehingga berjumpa satu lagi traffic light, masuk jalan ke kanan dan terus memandu sampai anda melihat papan tanda jalan "Jalan Pengkalan Pandan" berdekatan longkang besar di sebelah kanan anda dan ada juga kedai nasi kerabu di sebelah kiri anda,  belok masuk ke jalan tersebut. Memandu terus sehingga berjumpa simpang ke kanan (kelihatan banyak kereta untuk di sewa di letakkan di dalam garaj), belok ke simpang tersebut dan anda akan berjumpa kedai nasi kerabu di sebelah kanan anda.

Kedai dibuka waktu sarapan setiap hari kecuali sabtu.

Karipap Panas Taman Gelora

Dari Megamall Kuantan, kereta kami bergerak menghala ke Taman Gelora. Selain dari pantai dan taman yang indah di sini, terdapat satu lagi tarikan iaitu karipap panas. Gerai menjual karipap ini telah wujud agak lama di situ. Tidak sah berkunjung ke sini tanpa menjamah karipap panas tersebut.


Semasa kami sampai pada jam 3 petang, kelihatan sebarisan orang beratur untuk membeli. Di sini juga ada di sediakan bangku-bangku dan meja-meja untuk pelanggan menjamu selera. Selain pada karipap, kuih cucur udang, popiah, minuman sejuk dan minuman panas juga ada di jual.


Harga sebiji samada karipap atau cucur udang atau popiah adalah RM1 satu. Harganya agak mahal tapi amat berbaloi dengan keenakannya. Selain pada itu, layanan yang di beri juga memuaskan. Tuan punya kedai bernama Pak Ngah, sungguh mesra bersesuaian dengan bidang yang di ceburi.

Sepanjang pemerhatian saya di sini, orang semakin ramai beratur menjelang petang hari. Berbagai bangsa kelihatan, ada yang bersama keluarga makan di sini dan ada yang membawa pulang sekurang-kurangnya satu plastik penuh karipap.