Hari sabtu saya menuju pantai Cherating yang cuma mengambil masa tidak sampai 30 minit dari Chukai dengan berkereta. Hentian pertama adalah di Residence Resort dan Cherating Bay, tetapi malangnya kedua-duanya telah penuh. Hentian kedua di chalet yang berdekatan pantai, juga penuh. Mungkin musim cuti sekolah yang memenuhi semua. Niat untuk menginap bersama kawan-kawan pejabat di kuburkan sahaja.
Dengan sedikit kecewa, saya menghala ke pantai. Banyak perubahan dari kali terakhir saya ke sini. Ada tempat persalinan, tandas, kedai makan dan semakin banyak chalet-chalet kecil yang tumbuh bagai cendawan. Semestinya ramai orang juga.
Terdapat sekumpulan remaja lelaki bermain bola tampar pantai. Di kalangan mereka, ada seorang remaja asing bermain sama, kelihatan seperti telah agak lama dia bercuti di sini. Berdekatan, ada satu lagi kumpulan remaja sedang bermain bola sepak pantai. Lain-lain pengunjung bersantai di tepian pantai dan ada yang mengambil peluang mandi laut.
Oleh kerana pantai Cherating berteluk, ianya agak selamat untuk mandi di situ. Tapi pada musim tengkujuh sekarang, silalah peka dengan keadaan laut sebelum mandi. Pasir pantai putih, sangat menarik. Anak-anak kecil pasti tidak melepaskan peluang membina istana pasir.
Kata orang, jika mahu ketenangan, pandang ke laut. Laut pasti dapat meredakan kegelisahan anda.
No comments:
Post a Comment