Friday 1 November 2013

Namuang Elephant Trekking, Koh Samui

Selain dari pantai yang memanjang, terdapat juga air terjun di Koh Samui. Perjalanan dari Pantai Lamai untuk ke sini hanya mengambil masa tidak sampai setengah jam dengan berkereta. Namuang di kelilingi pokok-pokok yang menghijau tapi haba panas tetap terasa.


Terdapat dua air terjun di sini, air terjun yang pertama terletak berdekatan dengan jalan raya, cuma mengambil masa 5 minit berjalan kaki. Ketinggian air terjun ini adalah 18 meter dengan satu takungan air yang besar. Tidak ramai pengunjung yang mandi di sini, mungkin faktor kekeruhan air yang mematikan niat. Juga tiada kelihatan tempat bersalinan pakaian di sini.


Berdekatan air terjun pertama, iaitu di kawasan parkir kenderaan. Terdapat satu lagi tarikan di sini, memberi makan dan menunggang gajah. Untuk memberi makan gajah, anda hanya perlu berbelanja RM5 untuk membeli sebakul kecil buah-buahan seperti durian, rambutan dan daun-daun. Gajah sangat suka memakan durian. Agak pandai gajah mengupas durian dengan kakinya sebelum mengutip ulas durian dengan belalainya dan menyuapkannya ke mulut.


Untuk menunggang gajah, anda perlu membeli tiket yang berharga RM70 seorang untuk dewasa dan RM40 untuk kanak-kanak untuk perjalanan selama tiga puluh minit. Selepas membeli tiket, anda di kehendaki bergerak di pelantar kayu untuk menaiki gajah. Dari pelantar, anda hanya perlu melangkah di dalam bakul yang telah di ikat kemas ke badan gajah. Kelihatan seorang pemandu duduk di kepala gajah. Dari situ anda akan di bawa bersiar-siar di sekitar kawasan yang berbukit tersebut.

Untuk ke air terjun kedua perlu berjalan kaki selama tiga puluh minit. Ketinggian air terjun ini adalah 80 meter. Tapi saya tidak berkesempatan berkunjung ke situ. Tidak di ketahui samada keadaan airnya sama atau tidak dengan air terjun pertama.


No comments:

Post a Comment